RSS

Monthly Archives: June 2011

Amal vs Dosa

bismillahirrahmanirrahim

عن ثوبان رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه ‏وسلم أنه قال ” لأعلمن أقواماً من أمتي يأتون يوم القيامة بحسنات أمثال جبال تهامة ‏بيضاً، فيجعلها الله عز وجل هباء منثوراً”. قال ثوبان: يا رسول الله صفهم لنا، جلهم ‏لنا، أن لا نكون منهم ونحن لا نعلم. قال: “أما إنهم إخوانكم ومن جلدتكم، ‏ويأخذون من الليل كما تأخذون، ولكنهم أقوام إذا خلوا بمحارم الله انتهكوها”

Tsauban radhiaallahu’anhu meriwayatkan sebuah hadith yang dapat membuat orang-orang soleh susah tidur dan selalu runsing akan amal-amal mereka. Tsauban radhiaallahu’anhu berkata, Rasulullah shalallaahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Aku benar-benar melihat diantara umatku pada hari Kiamat nanti, ada yang datang dengan membawa kebaikan sebesar gunung di Tihamah yang putih, lalu Allah menjadikannya seperti kapas berterbangan, Tsauban bertanya, Ya Rasulullah, jelaskan kepada kami siapa mereka itu agar kami tidak seperti mereka sementara kami tidak mengetahui, Baginda bersabda; mereka adalah saudara-saudara kalian dan sebangsa dengan kalian, mereka juga bangun malam seperti kalian, akan tetapi apabila mendapat kesempatan untuk berbuat dosa, mereka melakukannya

(Hadith Riwayat Ibnu Majah)

adakah amalan kita membukit begini??

Jika dihayati dengan hati, pasti hadith ini turut membuatkan kita tidak mampu untuk tidur malam. Memikirkan ibadah yang kurang, mengira nawafil yang entah ke mana. Juga jangan mudah merasa puas jika malam-malam kita telah dikorbankan, wang-wang kita turut didermakan, masa-masa kita telah dikorbankan kerana masa rehat untuk seorang Muslim itu hanya apabila sebelah kakinya telah melangkah ke dalam syurga. Itulah yang dinukilkan oleh Imam Ahmad rahimahullah.

Duhai ikhwah akhawat yang diredhai Allah, usahlah kita mengambil ringan dengan dosa walaupun sekali dan janganlah kita merasa penat untuk berbuat kebaikan walaupun sedetik. Apabila terdetik untuk melakukan amal soleh, maka segerakanlah ia. Belum tentu amal kita yang banyak itu melayakkan kita untuk ke syurga,

Dari Jabir, ia berkata: Saya pernah mendengar Nabi S.A.W. bersabda maksudnya : “Amal soleh seseorang diantara kamu tidak dapat memasukkannya ke dalam Syurga dan tidak dapat menjauhkannya dari azab api Neraka dan tidak pula aku, kecuali dengan rahmat Allah.”(Hadis Riwayat Muslim)

Belum lagi muhasabah tentang ikhlas dalam amal,

jauh lagi untuk menghitung segala dosa seperti yang dilakukan oleh Abu Sufian, barangkali semua kebaikan itu terpadam dek maksiat-maksiat-maksiat yang dilakukan, nauzubillah.

Seruan untuk merasai kebersamaan Allah setiap masa bukan hanya sekali dan bukan hanya diseru oleh Rasullullah, malah Penjaga kita turut berfirman di dalam surah al-An’am ayat 3,

وَهُوَ ٱللَّهُ فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَفِى ٱلۡأَرۡضِ‌ۖ يَعۡلَمُ سِرَّكُمۡ وَجَهۡرَكُمۡ وَيَعۡلَمُ مَا تَكۡسِبُونَ 

“Dan Allah (yang disembah) di langit dan di bumi, Dia Maha Mengehatui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu nyatakan dan Dia Maha Mengetahui setiap apa yang kamu kerjakan”

Merasa diawasi bukan mudah, perasaan ini perlu dihadirkan dan ia tidak akan lahir sendiri tanpa disedari. Dikisahkan kepada para sahabat daripada Rasulullah s.a.w melalui perantaraan wahyu, bahawa pada hari akhirat nanti akan datang kelompok manusia yang mempunyai amal yang banyak, banyaknya seperti butiran-butiran pasir dan bijian batu yang membentuk gunung Tihamah (wah, banyaknyaa),  namun bila bertemu Allah, tidak dikira walapun satu amalan-amalan yang banyak ini diumpamakan seperti debu-debu yang berterbangan, tidak kelihatan dan tidak dapat ditangkap. Inilah golongan yang melakukan perkara-perkara yang diharamkan Allah secara tersembunyi. (apatah lagi terang-terangan yang memang tahu dosa)

Antara perkara yang membantu untuk rasa diawasi Allah adalah:

  • Yakin dengan sempurna bahawa semua yang berlaku di dunia, secara terang atau tersembunyi semuanya dalam pengetahuan Allah
  • Yakin seyakin-yakinnya bahawa setiap yang kita lakukan (setiap detik, setiap inci, setiap pergerakan) semuanya akan disebut semula di hari akhirat, setiap satu akan dinilai, jika baik maka baiklah balasannya, jika buruk, maka buruklah balasannya. Oleh itu, rebutlah kebaikan sebelum maut menyapa

Jika rasa perkara di atas seolah-olah tidak dirasai (atau orang kata macam retorik), antara perkara yang boleh menanamkan rasa diawasi itu ialah;

  • Menjaga perkara-perkara yang melahirkan ketaatan pada Allah; seperti solat fardhu, zakat, sedekah, membaca al-Quran, zikir, istighfar, puasa, sentiasa muhasabah diri dan mendenda diri jika melakukan perkara yang tidak disukai. Jika kita sibuk dengan perkara-perkara ketaatan, insyaAllah hati ini akan sentiasa rasa diawasi. Kerana tabiat hati itu tidak boleh dicampuri antara dua urusan, hanya boleh dikuasai oleh satu, sama ada ketaatan atau kemungkaran
  • Biasakan diri dengan jamaah. Elakkan berseorangan kerana syaitan sentiasa akan membisikkan perkara-perkara yang akan menjauhkan kita dengan Allah. Jika kita ada sahabat-sahabat yang soleh, akan ada kelompok yang sentiasa mengingatkan kita yang menyokong kita agar tidak terus tenggelam dan akan bersama-sama mendorong kita kepada ketaatan. Sedang Rasulullah sendiri bersabda, “Jauhilah kamu daripada berseorangan, dan hendaklah kamu bersama jamaah, sesungguhnya syaitan itu bersama dengan mereka yang bersendiri dan jauh daripada mereka yang berdua..” (HR At-Tarmizi)

Ikhwah akhawat yang dirahmati Allah, jika diberi tugasan untuk menyembelih ayam di kawasan yang tidak siapa pun nampak, adakah kita boleh menjumpai tempat tersebut? Adakah tempat yang tidak dilihat oleh sesiapa langsung? Jawapan ada dalam hati masing-masing.

Moga fatrah imtihan akan lebih membuatkan kita rasa diawasi, lazimi solat jemaah, tunaikan hak kepada yang berhak, paling utama yang perlu ditunaikan haknya adalah hak kepada Rabbul Izzati yang meminjamkan kita mata dan akal untuk kita gunakan mencari redha Dia. Bayangkan jika salah satu nikmat ini ditarik….

Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang banyak beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya daripada setiap kesusahan jalan penyelasaian, daripada setiap kesempitan jalan keluar dan akan diberikan rezeki dengan cara yang tidak diketahui.
 
Leave a comment

Posted by on June 10, 2011 in Sharing is caring

 

jom DOA!~

Bismillahirrahmanirrahim. Hari ni teringin menulis sesuatu tentang satu sifat Allah yang istimewa, Al-Fattah الفتاح

“tak kenal maka tak cinta”

begitu halus maksud yang mahu diketengahkan melalui sebaris peribahasa ini. Untuk mencintai sesuatu maka kita harus mengenalinya terlebih dahulu. Biar saya coretkan satu contoh; sebuah kerajaan yang tersohor, gemilang, terbilang,aman dan makmur pastinya memiliki seorang raja yang sangat-sangat adil. Rakyatnya pula saling bantu membantu dan berkasih sayang. Mereka tidak membenci raja tersebut  lantaran sifat saling menghormati dan mengenali raja itu serta raja pula sentiasa mendengar segala aduan dan permintaan rakyat jelata. Adakah raja tersebut dengan tiba-tiba sahaja bisa memberi arahan dan rakyat juga tiba-tiba sahaja bisa mendengar arahan?? Pastinya rakyat sudah dahulu mengenali raja ini, bahkan raja juga pasti lebih-lebih lagi mengenali rakyatnya yang walaupun  ramai lalu mewujudkan mutual relationship yang positif.

اذ عرف الأمر سهل الأوامر

“jika seorang penguasa itu dikenali maka itu memudahkan segala arahan”

Begitu juga Allah, DIA pemilik sebesar-besar kerajaan. Kenalilah DIA maka mudahlah kita dalam mentaati perintahnya. الفتاح Apa yang dimaksudkan dengan sifat Allah AlFattah?? Perkataan” fataha” beerti  membuka berlawanan dengan menutup, oleh itu dengan sifat ini beerti segalanya-galanya adalah tertutup dan Al-Fattahlah yang membukanya. Dengan iradat dan qudrat-Nya, DIA membuka setiap segala yang tertutup, dan mengangkat segala keburukan dan bala, merawat segala kesedihan dan kesusahan. Al-Fattah akan membuka segala pintu kebaikan dan kesenangan.

Jika dunia dirasakan begitu sempit bagi kita; yang berpenyakit last stage sepertinya sudah tiada harapan lagi, seolah-olah tiada harapan untuk maqbul dalam peperiksaan, pakcik arab selalu marah sebab mintak harga kurang, seolah-olah pintu Palestine dan masjid Al-Aqsa akan selamanya ditawan seolah-olahnya dunia menyisihkan! Mintalah ..serulah pada-Nya dengan nama ini..

DIA juga membuka segala pintu kejayaan dan taufiq pada permulaan amalan kita.

و عنده مفاتح الغيب لا يعلمها الا هو

“padanya kunci segala perkara ghaib, tiada siapa yang mengetahuinya kecuali DIA”

Katakan anda akan mengambil lesen kereta, maka bagi sesiapa yang tidak pernah mengambilnya, ini perkara baru yang pasti mendebarkan jiwa, ataupun anda akan melangsungkan perkahwinan pada esok hari ataupun anda akan menduduki peperiksaan akhir tahun perubatan.. semuanya adalah perkara baru yang mana kita tidak pernah melaluinya dan tidak mengetahui apa akan terjadi selepasnya, baik buruknya. Padanya kunci kejayaan, mintalah pada-Nya pada permulaan kejadian dengan nama-Nya Al-Fattah. Sudah berapa agaknya umur kita terlepas dari meminta dengan nama Allah yang ini, sedangkan sudah terlalu banyak perkara baru yang telah kita jalani tanpa memohon pada-Nya.. ahh ruginya! Makanya tidak hairanlah jika perjalanan hidup kita “agak berliku” jika difikir-fikirkan

.

DIA pembuka jalan HAQ ketika mana kita sedang dizalimi. Maka, janganlah kita takut dan mengalah jika kita berterusan diancam, Muslim yang sentiasa difitnah dan dilabel sebagai terrorist, extremist dan sebagainya.

لا يفتح الله للناس في رحمة فلا ممسك لها

“bila mana Allah membuka pintu rahmat-Nya pada manusia, tiada siapa yang boleh menghalang-Nya”

Percaya dan yakin kepada Allah adalah kunci kepada termakbulnya doa kita. Sebagaimana kisah Saidatina Aisyah R.A sedang beliau sendiri adalah ummul mukminin dan kisah Nabi Yusof A.S juga dizalimi dan difitnah. Maka sabar dan doa adalah jalannya. KesanJika kita benar-benar mengimani sifat Allah yang ini, kita akan sentiasa bersungguh dalam amalan kita sehingga akhirnya Allah akan membuka jalan keluar untuk kita dengan syarat setelah kita bersusah-susah dan berpayah-payahan pada mulanya.

Teringat saya kisah beberapa tahun sebelum penghijrahan Baginda S.A.W  yang beusaha mendapatkan himayah atau perlindungan satu kaum untuk menyebarkan dakwah Allah ini dan pilihannya adalah yang cream of the cream! Adakah dengan sekali seruan ke beberapa buah khemah semasa musih haji tersebut berupaya mendapatkan hasil yang dikehendaki, bahkan tidak.. kesemua 26 khemah kabilah dilewatinya. Bahkan menghadapi setiap satunya dengan pelbagai bentuk penentangan. Akhirnya pada hari terakhir musim haji tahun tersebut tatkala kabilah-kabilah ini hampir pulang sempat juga Baginda menghabiskan kabilah yang terakhirnya dan akhirnya inilah sekumpulan syabab dan pemuda yang dengan izin Allah memberi perlindungan dan memulakan penyabaran dakwah di Madinah.

Ia membuka pintu cita-cita ataupun amal bahawa peluang tetap ada. Ia juga menjadi sebab untuk kita berusaha sehingga saat-saat akhir pertarungan. Maha suci Allah!

و لله الأسماء الحسنى فادعواه بها

“pada Allah terdapat nama-nama yang baik. Maka serulah dengan nama-Nya”

 
Leave a comment

Posted by on June 3, 2011 in Sharing is caring, Wheel of life

 
 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.