RSS

ikut hati, mati?

03 Jun

Wahai orang2 yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkan-Nya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya di dunia dan akhirat. Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamaNya); dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang apa yang benar dan salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah pelindung kamu. Maka (Allah yang bersifat sedemikian sifatNya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-sebaik Pemberi pertolongan. (Al-Haj:77-78)

Terpukul setelah membaca ayat di atas, Allah terus berbicara dengan hamba-hambaNya melalui kalam-kalam yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w, betapa culasnya diri dalam melaksanakan suruhan Allah, ini baru satu suruhan macam mana pula dengan suruhan-suruhan Allah yang lain. Terasa rendahnya diri nak dibandingkan dengan para sahabat yang terus melaksanakan apa yang disuruh; berpuluh kali ayat di atas dibaca sejak kecil namun setelah menjangkau dekad yang ke-2 hidup barulah jiwa sedikit terpukul dengan maksud ayat tersebut.

Allah memilih, menamakan kita  sebagai Muslim sebelum penciptaan kita lagi. Namun, setelah 20 tahun penciptaan baharulah memahami erti dan tujuan hidup yang sebenar, dan tak lain tak bukan diri ini telah lama dipertanggungjawabkan untuk memberi keterangan kepada umat manusia tapi berapa ramai yang telah diperingatkan.. berapa ramai telah diselamatkan dari terus hanyut meniti nikmat dunia yang sementara.. dan yang paling mengusik, sekeras mana usaha ke arah semua itu. Abu Bakar sendiri  Islam di tangannya beberapa orang antara “sepuluh insan yang dijanjikan syurga” di awal minggu pertama keIslamannya, kita? Sedangkan apa yang diperoleh oleh Abu Bakar sama dengan apa yang kita peroleh malah 20 tahun  bergelar Muslim, 20 tahun dan seminggu; nisbah yang sangat berbeza. Apakah  tidak berilmu selama ni.. sedangkan semenjak kecil ibu ayah mengenalkan Allah, rasul, solat, zakat . Pendek kata, rukun Islam sudah dihafal sebelum masuk sekolah, darjah 1 ibu ayah telah menghantar ke sekolah agama, asas-asas agama insyaAllah dah dihafal,.. disampaikan?? (Allahu Akbar) ~ culasnya. Jika diulang masa lalu, nescaya akanku sebarkan pada kawan-kawan tentang apa yang kupelajari di sekolah, akan ku seru saudara-maraku untuk teguh berpegang pada suruhan-Nya di saat Malaysia tercintaku diserang ghazwatul fikr, saat muzik dijadikan teman permusafiran, saat baju dicipta seolah tidak cukup benang dan kain, saat pendidikan muzik lebih diminati berbanding pendidikan Islam. Akanku korbankan tidurku untuk menghadiri majlis-majlis ilmu supaya ketika umurku 20 tahun ini aku sudah berjaya membebaskan Palestin atau paling kurang sudah punya beberapa jalan untuk menakluk kembali Palestin dan sedang dalam perjalanan ke sana,  tetapi~~Ighfir zunubana ya rabb~~.

479566814l

Tidak guna berkeluh-kesah. Alhamdulillah Allah beri peluang sehingga umur melebihi 20 dekad untuk mengerti semua ini, untuk  laksanakan cita-cita yang sepatutnya diatur strategi ke arahnya sejak  mumayyiz, untuk terus rukuk, sujud, mengisi tiap detik dengan mengingati-Nya dan mengerjakan amal kebajikan. Sedih mengenangkan tragedi “ponteng” solat ketika kecil, menangis sakit perut untuk meneruskan puasa, belajar rajin-rajin untuk lulus periksa ~ighfir zunubana ya rabb. Cukuplah 20 tahun telah dibazirkan masa dengan kemudahan-kemudahan yang Allah beri, tibalah masa untuk memberi kerana erti hidup akan lebih dirasai dengan memberi~ memberi yang terbaik kepada Allah melalui amal ibadat dan menegakkan syariat-Nya dan memberi yang terbaik buat manusia dengan mengembalikan mereka kepada Allah kerana yang Terbaik hanya ada pada-Nya dan daripada-Nya, menjalankan tiap inci suruhan-Nya. Moga 20 tahun akan datang tiada lagi keluhan-keluhan yang bersarang dalam hati. Teringat khalifah disegani Saidina Umar, Islamnya untuk beberapa tahun tetapi solatnya, masyaAllah, sehingga ditikam pun masih khusyuk menghadap Tuhannya, Nusaibah binti Kaab yang menjadi antara benteng-benteng Rasulullah ketika yang lain leka dengan harta ghanimah, Muhammad Al-Fateh yang berjaya membuka Kota Costantinople seawal umur beliau sebaya denganku, inginku bangkit kembali.

Untuk apa ditakutkan dengan gagal temuduga semata-mata mempertahankan jilbab, untuk apa takut dipecat semata-mata mencuri masa 15 minit bertemu denganNya, aha, berjumpa Allah pun dikatakan mencuri sedangkan melakukan perbuatan lain itu lebih dikatakan mencuri. Tidak, masa ini milik Dia, kita yang tidak menggunakan dengan sebaiknya sehingga mencuri hak-hak masa. Yakin, rezeki itu daripada Allah, tetap dan teguhlah atas jalan-Nya insyaAllah tidak Allah biarkan kita mati kelaparan namun kesenangan harta benda bukan ukuran sayangnya Allah pada kita, duit elaun yang banyak pun  dibelanjakan entah ke mana, inikan pula harta yang melimpah ruah. Kesenangan kekadang membuatkan kita semakin leka, semakin alpa dari membelanjakan ke arah yang sepatutnya, semakin kurang bersedekah kerana ditakuti kehabisan wang di kemudian hari, semakin kurang diinfaqkan kepada saudara-saudara kita di Palestin dan negara-negara Islam yang lain. Sedangkan rezeki di kemudian hari Allah lebih tahu, mungkin duit yang disimpan terlalu banyak itu kelak bukan rezeki kita, bukan milik kita, usah gentar usah bimbang kerana Dia sebaik-baik Pelindung dan Pemberi Pertolongan. Selagi kita menolong agama Allah insyaAllah Dia tidak akan membiarkan kita dalam kesusahan, ini semua janji-Nya, Dia yang sentiasa menepati janji. Ingat, hidup ini untuk memberi ~memberi taat kepada Allah, memberi patuh pada arahan dan suruhan-Nya dan memberi yang terbaik buat manusia supaya impaknya mereka lebih dekat pada Allah kerana akhirnya masing-masing akan temui bahawa yang terbaik itu adalah bersama-Nya, melakukan segalanya kerana Dia dan terus berada di atas jalan-Nya. Lihat sendiri para sahabat, cukup dengan sesuap makanan agar tidak kelaparan dan seteguk air, malah berpuasa sentiasa menjadi pilihan kerana lebih mendekatkan diri kepada Allah, berpuas hati dengan sehelai pakaian asalkan menutup aurat dan banyak lagi contoh yang mereka ridhwanullah alaihim tunjukkan yang akhirnya dengan perjuangan mereka Islam sampai kepada kita, amalan mereka menjadi contoh buta kita, namun bagaimana usaha kita supaya Islam akan terus sampai kepada anak generasi kita?

Beranikan diri untuk kebenaran, ya, beranikan diri untuk membuat anjakan paradigma. Biarlah orang kata “berlagak alim”, “dah bertaubat”, “tak modern”, “tak rock”, atau apa sahaja namun selagi kita lakukan kerana Dia, insyaAllah Dia bersama kita. Dia tidak akan mengecewakan kita. Ditarik beberapa nikmat tidak semestinya Dia membenci namun Dia hendak memberi kita nikmat yang lebih berharga; bukankah Dia sentiasa bersama orang yang sabar? Nikmat yang jika bukan untuk kita, untuk generasi-generasi kita, dan jika bukan di dunia, di akhirat pasti jua.

Teringat kisah pejuang-pejuang Palestin, membuat roket-roket, senjata-senjata, dan alat-alat peperangan bukanlah sesuatu yang mudah, sekarang semua guna duit, tapi jika ditanya dari mana sumber kewangan, “semuanya dari poket-poket kami”, adakah termasuk sumbangan itu walau 0.1% daripada poket kita? Dan kita telah pun mendengar pelbagai cerita-cerita karamah para mujahid dalam peperangan Gaza baru-baru ini. Mereka juga seperti kita, hidup di zaman kita, menyedut udara yang sama dengan kita dan merujuk Al-Quran dan Sunnah seperti kita tetapi bagaimana mereka cukup kuat, sangat kuat, biar dibunuh ibu dan ayah, biar dibom rumah dan tempat perlindungan, biar diacu senapang patah tetapi semangat mereka tidak pernah patah, kuat, sungguh kuat tetapi dari mana? Sudah tentu dari Pemilik segala kekuatan di langit dan di bumi, pohonlah kekuatan dari-Nya untuk memiliki mungkin serpihan semangat pejuang-pejuang HAMAS dan yang pasti doa tanpa usaha itu hanyalah sia-sia. Jika banyak yang kita minta maka banyaklah juga yang perlu diberi. Bukan sukar cuma susah untuk dihayati bagi yang tidak mahu membuka hati, Allah telah memberi petunjuk dan sebagai contoh ayat di atas, rukuklah, sujudlah, beribadatlah, buatlah amal kebajikan  dan berjihadlah dengan sebenar-benar jihad dengan memberi keterangan kepada orang lain seperti yang Rasulullah pernah buat dahulu, dirikanlah solat (dan jagalah solat, peliharalah khusyuknya, waktunya, sunat dan rukunnya), berilah zakat (bukan sekadar zakat fitrah) dan berpegang teguhlah kepada Allah. Mudah untuk difahami, dibaca, disampaikan, dan ditaip tetapi perlu mujahadah untuk melakukannya. Bukan Allah tidak tunjuk tapi hati yang terus dibekukan, dibiarkan pegun di upper right hypochondrium, tidak digerakkan untuk mengejar dan mencari kebaikan. Terus dibiarkan hanyut dengan keseronokan bersama kawan-kawan yang membawa kepada kelalaian, sedangkan Allah berfirman bahawa ukhuwah itu adalah membaiki dan mengislah satu sama lain, kalau kawan kita tak nak, apa salahnya jika kita yang mengajak mereka ke arah kebaikan, usah hanyut dengan elaun yang sehingga tidak tahu ke mana hendak dibelanjakan, jangan risau, tahap kemiskinan Mesir masih tinggi, masih ramai yang perlu bantuan, dan Masjidil Aqsa masih belum bebas untuk dimasuki serta negara-negara Islam yang lain masih belum aman daripada karenah birokrasi, usah berasa cukup dengan amal dan bakti kerana Rasulullah sendiri sehingga akhir nafasnya mengingati kita; ummat baginda yang jauh.. sangat jauh di mata namun dekat di hati, usah dibiar hanyut kerana kelak kita akan disoal, apakah keuzuran yang hendak kita berikan pada Allah..

big_farewell

Sedarlah dunia kini seperti dalam kartun animasi, bukan realiti yang diidamkan tiap manusia, hidup di bawah khilafah Islam yang adil dan saksama, kebenaran perlu ditegakkan dan benar hikmah yang menyebut: “Kekuatan adalah cara paling selamat untuk menegakkan kebenaran. Alangkah baiknya jika kekuatan dan kebenaran berjalan seiringan.” Dan memelihara kebenaran itulah tanggungjawab tiap Muslim, ia merupakan perbuatan kebajikan yang paling rendah, jika kita tidak mampu untuk menghalang kemungkaran yang berlaku di sekeliling, cukuplah kita mempertahankan dan memelihara kebenaran itu sendiri, dan itulah jihad yang sebenar untuk kita. Ingatlah, kita merupakan insan terpilih oleh Allah sebagai pewaris Rasulullah s.a.w maka sedarlah tugas kita bukanlah untuk bergoyang kaki melihat perubahan yang berlaku di sekeliling kita, jua bukan sekadar penganalisa isu-isu semasa tetapi lebih daripada itu, sebagai Muslim yang berpendirian “Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Rasulullah itu pesuruh Allah” maka laksanakanlah tugas kita bersama.

Konklusinya, beranilah untuk melakukan anjakan paradigma, baik dalam hubungan dengan Allah dan sesama manusia, bukan senang untuk senang melihat Islam kembali tertegak dan manusia hidup aman tanpa maksiat dan kezaliman. Pokoknya, mulakanlah perubahan dengan memperbaiki hubungan dengan Allah dan menyeimbangkan urusan amalan dunia dan akhirat, jadilah rahib di malam hari dan singa di siang hari,  moga pengabdian diri ini dikira sebagai jihad dalam memartabatkan agama dan syariat Islam dan moga kejayaan milik bersama. Lihatlah para sahabat yang Allah pilih sebagai hamba-hamba-Nya yang soleh yang disifatkan sebagai “rahib di malam hari, singa di siang hari”. Pada waktu malam mereka dilihat berdiri di mihrab, mengusap janggut, mulut terkumat-kamit dan menangis sayu sambil berkata: “Wahai dunia, perdayalah orang lain selain aku.” Apabila fajar menyingsing dan gendang perang dipalu memanggil para mujahidin, kita lihat mereka memacu kuda, riuh rendah memenuhi medan pertempuran atau jika tidak, sibuk mengajak orang ke arah kebaikan di samping menghadiri majlis-majlis ilmu bersama Rasulullah s.a.w.

Suka untuk ana tutup entri ini dengan penutup ayat di atas, berani dan jangan takut untuk melakukan apa sahaja dalam menegakkan kebenaran, meng”islah” diri dan orang lain kerana kita ada Pelindung yang melindungi kita dan Dialah sebaik-baik Pelindung yang memiliki sifat Pelindung yang sebenar. Allah tidak pernah membelakangi janji kepada hamba-Nya dan insyaAllah keberanianmu, usahamu, tiap titik peluhmu, tiap wang ringgitmu Allah balas dengan kejayaan. Wallahua’alam.

Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam (Al-Mukminun: 115-116)

~nah, hadiah telah Allah janjikan, tinggal nak usaha je~selamat beramal

 
 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: