RSS

Khulasoh Kelas Sirah ‘Ala Khuto al-Habib

31 Oct

m7

Nabi S.A.W dan kabilah-kabilah –ikuti percubaan Rasulullah dalam mendapatkan perlindungan dari 26 kabilah..

Tahun ke-10 kenabian menyaksikan pelbagai peristiwa penting yang berlaku dalam kehidupan insan tercinta, baginda Rasulullah S.A.W. Pada tahun tersebut, dua orang pendamping baginda yang paling setia iaitu Saidatina Khadijah dan Abu Talib telah pergi meninggalkan baginda buat selama-lamanya. Bagaikan kehilangan tempat bersandar kerana kedua-dua penyokong daripada dalam dan luar telah tiada, namun kesemua itu bukanlah penyebab untuk baginda berputus asa dan menghentikan dakwah yang suci ini kerana Baginda S.A.W menyedari hakikat ujian yang diturunkan oleh Allah kepada baginda, Rasul yang terakhir, yang memikul segala beban dan amanah dalam memastikan risalah suci ini terus bertahan di atas muka bumi ini. Beruntunglah Kekasih Allah tersebut kerana tarbiyah rabbani yang didatangkan khas dari Rabbul Jalil sesungguhnya mengangkat martabat baginda sebagai insan yang paling mulia di langit dan di bumi..

Tahun ke-10 kenabian juga mencatatkan peristiwa sedih di Taif, di mana dakwah Rasulullah S.A.W bukan sahaja tidak diterima malah baginda turut dihalau dengan kasar dan dibaling dengan batu sepanjang 5 km dalam perjalanan pulang dari Taif. Menitis darah dari kepala baginda namun saat ditawarkan oleh Malaikat Gunung untuk menghancurkan penduduk Taif, baginda tidak sanggup berbuat demikian, sebaliknya berdoa supaya penduduk Taif diberi hidayah oleh Allah dan beriman dengan risalah tauhid ini. Subhanallah!!Betapa sabar serta sayangnya Rasulullah kepada umat baginda. Betapa tegarnya baginda mengharungi jalan dakwah ini. Jalan yang penuh dengan ujian dan pancaroba. Tidak pernah terdetik untuk berpatah balik tika usaha dakwah baginda ditolak mentah-mentah sebaliknya baginda merasakan usaha bagindalah yang kurang menyebabkan penduduk-penduduk Arab tika itu tidak menerima dakwah baginda. Bertitik-tolak daripada peristiwa di Taif tersebut, Allah menghadiahkan berita gembira buat Rasulullah dengan keislaman Adas dan segolongan jin yang mendengar bacaan Quran alunan al-Habib. Malah, Allah menghadiahkan  Rasulullah satu hadiah yang cukup istimewa, iaitu rehlah Isra’ dan Mikraj untuk menghiburkan hati baginda dan mengukuhkan jiwa Rasulullah dalam usaha menyampaikan dakwah selepas baginda melalui rehlah yang panjang dan susah di Taif.

Rehlah Isra’ dan Mikraj seolah-olah menjadi ‘booster dose’ buat Rasulullah untuk meningkatkan usaha  dakwah  baginda. Namun keadaan Makkah pada masa tersebut agak menyukarkan gerak kerja Rasulullah dalam menyampaikan dakwah kerana tentangan-tentangan yang dihadapi dari kafir Quraisy. Apatah lagi setelah kematian bapa saudaranya, Abu Talib, tentangan ke atas Rasulullah semakin hebat. Hal ini memaksa Rasulullah untuk mendapatkan perlindungan daripada kabilah lain bagi memastikan baginda dapat menyampaikan risalah Islam dengan selamat. Baginda S.A.W sangat yakin dan percaya akan adanya perlindungan dan pertolongan dari Allah, Pemegang Kekuasaan seluruh alam, namun baginda S.A.W terlebih dahulu berusaha untuk mendapatkan perlindungan dari kabilah-kabilah Arab tersebut, selebihnya Allah S.W.T yang akan menjaga keselamatan dan kesejahteraan baginda. Inilah tarbiyah yang diajarkan oleh al-Habib kepada kita-“al-akhzu bil asbab”-. Setinggi mana pun tawakkal kita kepada Allah, perlu didahului dengan usaha semaksimum mungkin yang mampu kita lakukan, dan selebihnya, kembalikan usaha tersebut kepada Allah kerana hanya Dia yang layak memberi kemenangan kepada kita, dan sesungguhnya Allah menilai usaha yang kita lakukan, bukan kejayaan yang kita raih hasil daripada usaha tersebut.

Kembali kepada Tahun ke-10 kenabian, pada musim haji, seluruh kabilah-kabilah dari Tanah Arab datang  ke Makkah untuk menunaikan haji. Hal ini dilihat sebagai satu peluang yang baik kepada Rasulullah untuk menyampaikan risalah Islam dan mendapatkan perlindungan daripada mana-mana kabilah bagi menjamin keselamatan baginda semasa menyampaikan dakwah Islam. Maka bergeraklah baginda Rasulullah untuk berjumpa dengan kesemua 26 kabilah yang datang ke Makkah dalam tempoh 10 hari-iaitu tempoh menunaikan haji..

–          Kabilah pertama- kabilah Bani Hanifah iaitu kaum ‘Musailamah al-Kazzab’, yang mendakwa dirinya nabi setelah kewafatan baginda Rasulullah. Pergilah Rasulullah menyampaikan risalah Tauhid kepada mereka dan cuba mendapatkan perlindungan daripada mereka namun baginda ditolak dengan sekeras-kerasnya oleh kaum tersebut sehinggakan tidak ada riwayat yang dapat menyebut kata-kata mereka.

–          Kabilah kedua-Bani Kalib di dalamnya terdapat “Bani Abdullah”-setelah gagal dalam percubaan pertama, Rasulullah S.A.W masih tidak berputus asa. Baginda pergi kepada kabilah kedua dan melakukan perkara yang sama, namun dakwah baginda tetap ditolak..

–          Gagal dalam 2 kali percubaan, baginda meneruskan langkah menemui kabilah ketiga-Bani Amir. Baginda hampir-hampir diberikan perlindungan oleh kaum tersebut namun dengan syarat sekiranya Rasulullah berjaya mendapatkan kekuasaan, maka kekuasaan tersebut mestilah diserahkan kepada kaum mereka. Rasulullah tidak menerima syarat dari kaum tersebut, maka baginda gagal untuk mendapatkan perlindungan dari mereka.

–          Pergi kepada Kabilah keempat yang diketuai oleh Bughrah b Kuwais, kegagalan tetap memihak kepada baginda. Bukan itu sahaja, baginda turut dipermainkan oleh kaum tersebut ketika baginda ingin berangkat pulang. Apabila mereka mentertawakan baginda, bangunlah seorang perempuan dan 3 orang pemuda yang beriman dengan Islam untuk mempertahankan baginda. Akhirnya berlaku pertarungan antara pemuda-pemuda yang beriman dengan kaum kafir tersebut, dan mereka gugur syahid di jalan Allah. Rasulullah sempat mendoakan kesejahteraan mereka kerana usaha mereka untuk mempertahankan Islam.

–          Semasa berjumpa kabilah kelima, Rasulullah mengajak sahabat baginda, Saidina Abu Bakar as-Siddiq kerana beliau lebih arif tentang nasab kabilah-kabilah Arab. Mereka mendatangi kabilah Bani Syaiban yang merupakan antara kabilah yang mulia-yang mana menurut Abu Bakar-“jika mereka menerima dakwah kita,maka Allah akan memuliakan kita dengan mereka”. Kabilah ini terletak di antara negara Parsi dan Arab dan diketuai oleh 3 orang pemimpin iaitu; Maghruk b Amir,Hani’ dan Musanna. Mereka terkenal dengan kekuatan tentera yang ramai serta kesungguhan mereka dalam melatih tentera-tentera mereka. Kekuatan tentera yang mereka miliki memberi peluang kepada Rasulullah untuk memperluaskan penyebaran risalah  Islam jika mereka menerima dakwah baginda. Namun begitu, mereka juga menolak tawaran Rasulullah untuk mengEsakan Allah dek kerana takut akan diperangi kaum kafir dan dibenci kaum setempat.

–          Rasulullah berjumpa dengan kabilah seterusnya, iaitu Bani Muharib. Baginda diajak bergusti oleh ketua kabilah tersebut yang bernama Rukanah-jika Rasulullah menang, maka mereka akan beriman  dan Rasulullah menyetujui tawaran itu. Dalam usia 50 tahun, Baginda mengerah tenaga untuk berlawan dan akhirnya baginda Berjaya mengalahkan Rukanah. Namun Rukanah meminta Rasulullah bertarung buat kali kedua dengan alasan Rasulullah melalaikannya semasa pertarungan pertama. Pada kali kedua juga Rasulullah berjaya mengalahkan Rukanah namun Rukanah tetap tidak berpuas hati. Pertarungan ketiga diadakan dan tetap memihak kepada Rasulullah. Akhirnya Rukanah tetap tidak beriman dengan Islam. Janji hanya tinggal janji. Walaupun Rasulullah bagaikan dapat menjangka kesudahan yang bakal terjadi, namun baginda tidak melepaskan setiap inci peluang yang ada untuk menyebarkan risalah suci ini. Hatta diajak bergusti sekalipun!!

–          Berjumpa pula Rasulullah dengan Suwaid-pakar sastera yang memiliki Himpunan Hikmah Luqman al-Hakim. Tekun Rasulullah mendengar Suwaid membacakan hikmah Lukman al-Hakim, lalu setelah tamat, Rasulullah menawarkan pula kepada Suwaid sesuatu yang jauh lebih baik dari Hikmah Lukman al-Hakim. Lalu Rasulullah membacakan ayat-ayat suci al-Qur’an dan berimanlah Suwaid. Rasulullah menerima keislaman Suwaid kemudian Suwaid berkata,”Ya Rasulullah,sesungguhnya aku hanyalah seorang lelaki biasa yang tidak dapat berbuat apa-apa.” Setelah beberapa hari berusaha, baginda masih tidak Berjaya mendapatkan perlindungan daripada mana-mana kabilah sebagai jaminan keselamatan untuk menyampaikan risalah Islam.

–          Dhumad- ‘si bomoh dari Yaman’-Dia telah datang kepada Rasulullah untuk mengubati baginda kerana mendakwa Rasulullah terkena rasukan jin. Sebaliknya Rasulullah yang berjaya mengubati Dhumad dari kekufuran dan membawanya kepada cahaya Islam.

–          Kisah Tufail b Amru-‘Si Penyair’-Beliau merupakan seorang penyair yang bijak. Beliau datang kepada Rasulullah untuk mengalahkan baginda dalam bersyair. Ketika itu Rasulullah sedang bersolat di Ka’abah. Apabila Rasulullah terperasan akan kehadiran Tufail, baginda manguatkan suara dalam bacaan baginda, sehingga Tufail tertarik lalu dia mengeluarkan kapas yang menyumbat telinganya dan menghayati bacaan Rasulullah-Pada awalnya Tufail menyumbat telinganya dengan kapas supaya dia tidak dapat mendengar hujah-hujah dari Rasulullah-Selesai sahaja solat, Tufail mengikut Rasulullah pulang ke rumah dan menyatakan keislamannya. Di awal keislamannya, Tufail pulang kepada kaumnya dan menyampaikan dakwah kepada mereka. Setahun selepas itu, Tufail hanya berjaya mengislamkan ibu dan ayahnya serta seorang lelaki lain; iaitu Abu Hurairah. Namun Tufail tetap tidak berputus asa. Beliau meminta Rasulullah supaya mendokan agar kaumnya memeluk Islam dan akhirnya pada peperangan Khaibar, Tufail b Amru datang bersama-sama kaumnya membantu angkatan tentera Muslimin dan Tufail gugur syahid dalam peperangan tersebut.

–          Rasulullah tetap tidak berjaya mendapatkan perlindungan yang dihajati sehinggalah hari terakhir menunaikan haji. Maka berangkatlah seluruh kabilah untuk pulang ke negeri masing-masing. Namun Rasulullah tetap tidak berputus asa. Baginda menjadi orang terakhir yang berada di sekitar Ka’abah dan semasa dalam perjalanan pulang, Baginda berjumpa dengan 6 orang pemuda yang sedang berkumpul dalam satu halaqah, diketuai oleh As’ad b Zurarah, pada ketika itu berumur 21 tahun dan paling tua di kalangan mereka. Rasulullah meminta izin untuk menyertai halaqah tersebut. Maka Baginda terus menyampaikan risalah Islam kepada mereka, dan berimanlah mereka di hadapan Rasulullah.

Subhanallah!!Usaha yang berterusan tanpa mengenal erti penat lelah, akhirnya di saat-saat akhir, Rasulullah berjaya mengislamkan 6 orang pemuda dari kaum Khazraj, dan rentetan dari peristiwa itulah berlakunya Perjanjian Aqabah 1 dan 2 serta peristiwa penting dalam Islam-iaitu Hijrah dan Pembukaan Kota Madinah. Pertolongan Allah tidak akan datang selagi mana kita tidak berusaha semaksimum mungkin. Inilah tajribah basyariah atau contoh yang boleh diambil bersesuaian dengan realiti kehidupan yang dibawa oleh al-Habib kepada kita. Rasulullah datang membawa contoh-contoh yang boleh kita ikuti jika kita mengimpikan untuk mendapatkan tempat yang tinggi di sisi Allah-seperti baginda. Inilah tajribah basyariah yang boleh kita ikuti sepanjang kita menelusuri sirah baginda. Ayuh, marilah kita sama-sama merebut peluang yang sedia terbentang, ambillah sirah perjalanan rasulullah dan titipkan dalam perjalanan hidup kita, moga-moga kita dapat menjejaki khuttoh-khuttoh (langkah-langkah) Rasulullah untuk ke syurga..



 
4 Comments

Posted by on October 31, 2009 in Classical Way

 

4 responses to “Khulasoh Kelas Sirah ‘Ala Khuto al-Habib

  1. ukhti sodiq

    October 31, 2009 at 12:07 pm

    Alhamdulillah, diam-diam ubi berisi ukhti sorang ni..khulasoh yang padat dan menarik..
    p/s: boleh buat lagi lepas ni ye..

     
  2. ba

    November 4, 2009 at 10:04 pm

    waa…ni mmg btul2 translate buku amr khaled ni…tahniah2 atas juhud yg tinggi utk sme2 menyumbang di sini…

     
  3. JHaZKiTaRo

    November 7, 2009 at 10:15 pm

    salam jauh dari bumi Eire.. blog hopping.. rajin2, meh jenguk2 my blog..🙂

     
  4. kak atiq

    November 7, 2009 at 11:27 pm

    buat lg tiap2 mnggu ye ^^
    nnt blh lah pbykkn lg buku2 arab yg dterjemah ke BM.

     

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: